| 4 comments ]


Klik sini untuk mendengarkan lagu Nur Ramadhan


“Aku mengunyah butir debu-debu yang garing di kebun tamarMu”


Petikan bait daripada lagu Nur Ramadhan nyanyian Demascus tersebut cukup menjentik jiwa saya. Lirik indah hasil tangan abang Ito Lara itu pertama kali saya bacanya ketika proses latihan sebelum rakaman lagu tersebut. Pada pandang pertama saya cukup tertarik dengan metafora yang digunakan abang Ito Lara.


Ramadhan merupakan ‘kebun tamar’ Tuhan. Tuhan membuka ‘kebun tamar’ itu buat kita hambaNya untuk masuk dan menikmati kelazatan tamar-tamar di situ. Sungguhpun begitu, masih ramai antara kita menghabiskan masa di kebun tersebut mengunyah butir debu.


Di dalam kebun Ramadhan, kita kadangkala gagal menikmati kelazatan buah-buahannya sebaliknya terus menikmati debu yang kotor. Ramadhan yang datang bersama gandaan rahmat Tuhan kita habiskan dengan sekadar berlapar memenuhi adat sekitar.


“Nanti orang lain puasa, aku tak puasa, mesti kena bahan punya. Baik berpuasa sama”


Mungkin secara tidak sedar itulah bisikan halus jauh di sudut hati kita. Berpuasa kerana adat, bukan ibadat. Berpuasa kerana menghambakan diri kepada ‘cakap-cakap’ manusia, bukan Tuhan. Akal mungkin menidakkan tetapi hati selesa berpandangan sebegitu.


“Hari ni Abang Long nak makan puas-puas, lepas ni sebulan dah tak makan” kata saya pada ibu ketika masih kecil.


“Hish ada pulak macam tu. Puasa ni bukan pasal makan dan minum je!” sanggah ibu.


Kita semakin tersasar dari makna Ramadhan, apabila bulan Ramadhan menjadi bulan sekitar hal makanan. Kita lihat puasa sebagai tidak makan dan minum semata. Kita melihat petang Ramadhan sebagai waktu berpesta membeli makanan. Kita melihat waktu berbuka sebagai detik mencari makanan sedap-sedap. Makan, makan dan makan.


Hingga terlupa, keseluruhan waktu dalam bulan itu adalah latihan mengukuhkan kehambaan kita kepada Tuhan. Sudah berbulan-bulan kita berlagak seperti boss di atas muka bumi walhal kita hanya hambaNya. Masa untuk sedar diri!


Benarlah, bagaimana kita melihat adalah apa yang akan kita dapat.


MENIKMATI TAMAR DI KEBUNNYA

“Kita berpuasa supaya dapat rasa macam mana susah orang miskin,” ujar cikgu saya ketika sekolah rendah.


“Kita tak makan tak minum, baru tahu macam mana rasa orang tak dapat makan dan minum,” cikgu saya meneruskan.


Seperti biasa, sebagai salah seorang anak muridnya yang nakal dan ada saja persoalan pelik-pelik. Saya tertanya, sekiranya puasa itu tujuan utamanya untuk melatih agar yang kenyang dapat memahami yang lapar. Maka bagi orang miskin yang kebuluran, kewajipan berpuasa bagi mereka untuk melatih apa? Hari ini saya faham, mungkin apa yang diajarkan ketika itu sekadar untuk memahamkan anak-anak kecil seperti saya.


“Ha kau tau tak, kalau puasa tak cukup 30 hari mana tak boleh raya!” tegas salah seorang kawan saya ketika kecil.


Mendengarnya, saya cukup khuatir kecundang daripada menahan lapar atau dahaga. Melepaslah nanti nak sambut Hari Raya. Lalu bertahanlah saya berdepan dengan lapar dan dahaga atas satu tujuan, mahukan kelayakkan menyambut Hari Raya.


Saya rasa ramai antara kita pernah mempunyai pandangan-pandangan begitu ketika kecil. Tetapi jangan terkejut kalau melihat, ada yang sudah seperti bapa anak tiga pun masih memahami puasa seperti anak-anak kecil. Tidak saya mengatakan salah untuk melihat salah satu hikmah puasa adalah bagi mengingatkan diri kepada kesusahan orang lain.


Terdapat pelbagai hikmah yang bermanfaat dapat diambil daripada berpuasa di bulan Ramadhan. Namun jangan sehingga terlupa tujuan paling utama yang menjadi sebab ia disyariatkan. Saya percaya puasa itu disyariatkan dengan tujuan yang lebih universal.


APA YANG NAK DICAPAI?

Sekiranya dikehendaki untuk dicantumkan kepingan-kepingan jigsaw puzzle. Tanpa mengetahui bagaimana gambar asal yang sempurna, tentu ianya merupakan misi yang mustahil. Ini kerana gambaran sempurna itulah yang akan menentukan bagaimana kita hendak menyusun kepingan-kepingan puzzle tersebut.



Begitulah juga dengan kewajipan berpuasa. Oleh kerana itu sangat penting mengetahui gambaran jelas terhadap apa yang yang sepatutnya dicapai di garisan penamat Ramadhan. Bagi memastikan usaha kita tepat dan jelas.


Bagi yang melihat matlamat diwajibkan berpuasa adalah ujian berlapar. Untuk merasa bagaimana menjadi orang susah. Maka tentu sekali perkara itulah yang akan ia perolehi. Terhenti sekadar pengalaman merasa kesusahan berlapar. Yang berubah mungkin hanya sikapnya pada orang miskin. Itu sahaja.


Bagi yang melihat puasa sekadar syarat untuk menyambut Hari Raya. Jadilah baginya Ramadhan sekadar tempat menahan lapar dan dahaga di siang hari selama sebulan. Sambil menghitung hari bilakah Hari Raya, untuknya berseronok sakan. Jauh daripada matlamat yang ditetapkan Allah SWT untuk Ramadhan. Tetapi menuruti matlamat nafsu dan keinginan.

ÙŠَا Ø£َÙŠُّÙ‡َا الَّذِينَ آمَÙ†ُوا Ùƒُتِبَ عَÙ„َÙŠْÙƒُÙ…ُ الصِّÙŠَامُ ÙƒَÙ…َا Ùƒُتِبَ عَÙ„َÙ‰ الَّذِينَ Ù…ِÙ†ْ Ù‚َبْÙ„ِÙƒُÙ…ْ Ù„َعَÙ„َّÙƒُÙ…ْ تَتَّÙ‚ُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. [al-Baqarah 2:183]

Taqwa, itulah hasil akhir yang diharapkan melalui kewajipan berpuasa. Gambaran akhir kepada kepingan-kepingan usaha yang hendak disusun sewaktu Ramadhan. Latihan membina taqwa adalah latihan universal. Sesuai untuk semua hambaNya. Samada untuk yang biasa kenyang bergolek atau lapar merengek.


BERJALAN DI ATAS JALAN BERDURI

Pernah Umar al-Khaththab RA bertanya kepada Ubay bin Ka’ab RA berkenaan taqwa.


Pernahkah anda berjalan di suatu tempat yang banyak durinya?” soal Ubay bin Ka'ab.


Tentu”, balas Umar al-Khattab.


Apakh yang anda lakukan?” Ubay bin Ka'ab menyoal lagi.


Aku sangat waspada dan hati-hati agar selamat dari duri itu”, jawab Umar al-Khattab.


Demikian itulah taqwa”, jelas Ubay bin Ka'ab. [rujuk Tafsir al-Qur’an al-‘Azim Ibn Katsir, Jld. 1, ms. 164]


Begitulah taqwa, sebagaimana berhati-hatinya di jalan yang penuh duri agar tidak terpijak duri yang bisa mencederakan. Begitulah kehidupan ini patut dikemudi. Seseorang itu boleh saja makan apa sahaja yang ia mahu. Bergaul sebebas-bebasnya tanpa kira batas lelaki perempuan. Bercakap sesuka hati tanpa kira baik atau buruk ucapannya itu. Namun itu bukanlah cara hidup seorang hamba Tuhan yang membina taqwa.


Insan bertaqwa memilih untuk berhati-hati melangkah di dalam kehidupan supaya tidak melanggar tegahan Tuhan dan tidak mengabaikan suruhan-Nya. Kerana mereka tahu natijahnya melanggar tegahan-Nya dan mengabaikan suruhan-Nya.


Itulah matlamat bulan Ramadhan yang datang bersamanya kewajipan berpuasa. Kita berpuasa di siang hari bukan sekadar untuk menahan makanan daripada turun ke perut. Tetapi ke tahap menahan segala perkara negatif daripada turun ke hati.


Saya berharap kita semua dapat melepaskan diri daripada menjadi si pemakan debu pasir yang diberi Tuhan peluang singgah ke ‘kebun tamarNya’. Moga Tuhan memberikan kita kekuatan untuk berjaya membentuk taqwa dalam diri. Serta memetik dan menikmati kelazatan rahmatNya.



alFaisal

Keramat

21 Ogos 2009 / 30 Syaaban 1430

8.30 am

http://demipena.com



4 comments

Anonymous said... @ August 21, 2009 10:49 AM

Salam, penulisan yang menarik. Alhamdulillah. Boleh ana sebar2kan penulisan ni.

alFaisal said... @ August 21, 2009 10:54 AM

Kalau ada manfaatnya, ya tafaddhal sila panjang-panjangkan :)

syahbandar87 said... @ September 3, 2009 6:23 PM

info yg bermanfaat..trima ksh
:)

- Nabilah Othman - said... @ September 9, 2009 9:18 PM

Salam Ukhuwwah ya akhi~
Ana baru singgah ke laman blog enta. Alhamdulillah...entry2 yg dipaparkan tidak mengecewakan. Ana juga bisa memperbanyak pembacaan demi memperluas pengetahuan melalui penemuan blog enta. Teruskan menyumbang mutiara hikmatnya. Redha Allah bersamamu. Selamat meneruskan ibadah puasa~

Post a Comment