Ini Omel, bukan Oppet.
“Oh kamu ada bela hamster ye?” Tanya seorang sahabat.
“A’ah, seekor hamster jantan,” jawab saya.
“Eh bela seekor je? Kesiannya dia hidup sorang-sorang,” Soalnya lagi.
”Hehe pernah tengok ke tikus bila berlari-lari berdua atau secara berkumpulan?” saya berseloroh.
Omel baru sahaja menjadi ‘ahli baru’ rumah saya kira-kira sebulan lepas. Ia adalah hamster dari spesis Syrian. Ini bukanlah kali pertama saya membela hamster. Ketika tingkatan satu dahulu, saya pernah memelihara hamster Syrian berbulu panjang yang biasanya digelar hamster ‘Teddy Bear’.
Bagi yang kurang arif mengenai hamster, mungkin tidak mengetahui bahawa hamster Syrian adalah spesis yang suka hidup bersendirian. Meletakkan lebih daripada seekor hamster yang sudah matang di dalam satu sangkar boleh mengakibatkan pergaduhan.
Pergaduhan yang boleh menyebabkan kecederaan parah atau kematian.
Masih segar dalam ingatan bagaimana hamster jenis Teddy Bear saya, terpaksa digondolkan bulunya oleh doktor veterinar suatu masa dahulu. Bagi membolehkan ubat disapu ke badannya yang cedera teruk dibelasah pasangannya.
Sekiranya kita menjadikan tabii manusia sebagai sudut pandang bagaimana seekor hamster Syrian perlu hidup. Tentu kita akan melakukan kesilapan meletakkan sebanyak mungkin hamster dewasa dalam satu sangkar. Atas sangkaan ia pasti lebih seronok dan tidak kesunyian.
Sedangkan tabii hamster Syrian adalah solitary, hidup bersendirian. Sepatutnya hamster Syrian perlu diukur dengan tabiinya dan bukan tabii manusia.
SANA UKUR DENGAN SINI
“Tak adil la kalau masuk syurga kena kahwin dengan suami dia semula. Tak boleh berpoliandri. Sedangkan suami dia boleh bersama bidadari-bidadari?” tanya seorang wanita. Kelihatan kurang berpuas hati dengan ganjaran yang dijanjikan.
Pelbagai lagi persoalan boleh muncul dan timbul berkenaan syurga, alam barzakh, akhirat. Semua boleh kelihatan kononya ‘tak masuk akal’ atau kononya tak adil.
Tetapi yang biasanya, kebanyakkan corak persoalan-persoalan lahir daripada pemikiran membandingkan alam-alam yang disebutkan tadi dengan alam kita sekarang.
Permasalahan mengukur sana dengan sini.
Walhal syurga yang dijanjikan Tuhan dengan dunia yang kita diami ini begitu berbeza sifatnya. Tak perlu melihat begitu jauh. Cukup kita merenung tentang nikmat paling asas yang dijanjikan. Yakni kebahagiaan dan keseronokkan di syurga yang berkekalan tanpa penghujung.
Firman Allah SWT,
وَأَمَّا الَّذِينَ سُعِدُواْ فَفِي الْجَنَّةِ خَالِدِينَ فِيهَا
“Adapun orang-orang yang berbahagia (disebabkan imannya dan taatnya), maka di dalam Syurgalah tempatnya. Mereka kekal di dalamnya...” [Hud 11:108]
Jika diukur nikmat syurga itu dengan pengalaman di dunia, pastilah ianya tampak mustahil. Katakanlah kita sangat-sangat sukakan ayam goreng. Pada hari pertama kita dapat menikmati ayam goreng, mungkin kita seronok.
Namun sekiranya untuk makan malam turut dihidangkan ayam goreng. Sarapan keesokan harinya ayam goreng, begitu juga dengan makan tengah hari. Diikuti juga dengan makan malam. Jika ianya berterusan untuk beberapa hari. Barangkali pada hari ketiga kita lebih rela menjadi ayam goreng daripada menikmati ayam goreng.
Berbeza di syurga, nikmat yang kita rasakan adalah berkekalan. Tanpa mewujudkan rasa jemu.
Pada perkara paling asas dan umum inipun sudah terdapat perbezaan besar antara syurga dan dunia. Maka tentulah kita terjerumus ke dalam kesilapan, sekiranya terus mengukur syurga dengan sifat dunia. Dunia yang sekadar menjadi medan ujian buat manusia, bukan tempat ganjaran.
Mirip kesilapan meletakkan tabii manusia sebagai pengukur tabii seekor hamster Syrian.
Cuma bezanya, dalam kes hamster, yang dalam bahaya mungkin hamster tersebut. Tetapi dalam persoalan syurga tersebut mungkin iman yang bakal tercedera. Akibat kekeliruan terhadap perkara paling asas.
SYURGA BUKAN ALAM DUNIA SEKARANG
Sekiranya kita meyakini bahawa Tuhan mampu mencipta apa sahaja yang sesuai dengan sifat-sifat keTuhanannya. Tentu tidak sukar untuk kita menerima bahawa Tuhan boleh mencipta suatu tempat. Yang mana kita sebagai makhluk di bawah Kekuasaannya, akan berasa seronok, gembira dan bahagia. Walaupun sekadar diberi minum air sejuk!
Syurga jauh lebih baik daripada itu. Ianya tempat di mana hamba-hambaNya dalam keadaan baik. Nikmatnya tidak tergambar oleh akal yang terbatas. Firman Allah SWT,
وَإِذَا رَأَيْتَ ثَمَّ رَأَيْتَ نَعِيمًا وَمُلْكًا كَبِيرًا
“Dan apabila engkau melihat di sana (dalam Syurga itu), engkau melihat nikmat yang melimpah-limpah dan kerajaan yang besar (yang tidak ada bandingannya).” [al-Insaan 76:20]
Sesuatu yang begitu diingini, dari perspektif dunia yang tidak sempurna ini. Mungkin kelak tidak dihiraukan lagi apabila terpesona dengan kenikmatan sebenar syurga.
Oleh itu, pandanglah syurga bukan dengan nafsu yang masih terikat dengan dunia. Dan jangan sampai tercicir daripada mengejar syurga. Hanya kerana menyibukkan diri cuba memperincikan isi kandungan syurga yang tidak diperincikan Allah SWT dan RasulNya.
Wallahua’lam.
alFaisal
Kuala Lumpur
9 Mac 2009 / 12 Rabiul Awal 1430
9.46 pm




6 comments
salam,
Agree! Mana boleh sama nikmat syurga dengan nikmat-nikmat keduniaan yang kita lihat sekarang ni kan? Kalau sama, dah tak exclusive la kiranya syurga Allah tu..
Apapun, mudah-mudahan ibadat kita semuanya untuk keredhaan dan kasih sayangNya, bkn utk syurga dan fadhilat-fadhilat semata.
Jaga diri :)
salam wrt..
izin kan sy berkongsi.
sy pon ade hamster yg lebih krg same.kaler pon same.mule nye saye ade 3,tp bile die dah matang,2 ekor lagi dah mati...hmm..sebab gaduhla...hehe=)
atam: Memang hamster ni nampak comel, tapi kalau gaduh boleh sampai berbunuh juga :)
Huu.. baru tau yang hamster Syrian tu takleh duduk ngan hamster lain. Menarik jugak... seems like this is one of the rare exceptions sbb selalunya mana2 haiwan pun nak duduk dgn kawan2.
crimsonskye: Ada beberapa jenis lagi haiwan lain yang hidup secara solitary. Maybe boleh cuba Google dan tengok apa persamaan mereka-mereka ni hehe.
Tapi yang menarik, 'saudara' Syrian yakni Dwarf Hamster tak suka kesunyian. Suka ramai kawan. Macam-macam perangai :D
gnas2 hamster skg nih;))
x mesra alam...hehe;))
Post a Comment