“Kadang-kadang nampak tak adil sebab melebihkan Nabi Muhammad daripada nabi-nabi lain,” ujar seorang kawan merujuk kepada keperluan berselawat kepada Rasulullah SAW.
“Ok nanti, apa yang awak faham atau maksudkan dengan adil,” saya mencelah.
“Emm adil is equal..kan?” Balasnya.
Seperti saya jangka, pastinya dia masih belum jelas lagi dengan apa yang dimaksudkan sebagai adil dalam Islam. Saya juga percaya dia bukan keseorangan, malah pastinya ramai di luar sana turut berkongsi nasib yang sama.
Salah memahami maksud adil hanya akan membuahkan perspektif yang tersasar. Lalu membawa kepada salah tanggapan dalam pelbagai isu.
Kesamarataan (equal) tentu sekali tidak menjelaskan ‘adl (adil) dalam islam.
Kita ambil sebuah analogi. Sekiranya saya mempunyai seorang anak yang mempunyai alahan terhadap ayam, manakala seorang lagi tidak. Jika adil yang difahami adalah kesamarataan.
Maka tentu saya akan membeli ayam goreng untuk anak yang tidak punya alahan dan juga untuk anak yang menghidapi alahan. Sekalipun ianya mungkin membahayakan bagi anak yang punya alahan tadi. Semata-mata untuk memastikan keduanya mendapat sesuatu yang sama rata.
Bukankah ada kerancuan andai ‘adl itu semata-mata bermaksud kesamarataan?
ZALIM DAN ADIL
Zalim dan adil bagaikan cahaya dan kegelapan. Kegelapan menggambarkan keadaan tiadanya cahaya. Manakala kezaliman adalah keadaan tanpa keadilan.
Disebabkan itu terdapat istilah ‘zalim pada diri sendiri’ di dalam Islam. Dan digunakan buat pertama kalinya oleh bapa dan ibu sekalian manusia, Adam dan Hawa dalam doa mereka. Ketika memohon keampunan Allah SWT kerana tertipu dengan hasutan Iblis. Doa yang berbunyi,
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi. [al-A’raaf 7:23]
Gelaran zalim juga diberikan Allah SWT di dalam al-Qur’an terhadap mereka yang melakukan kesalahan, fasik atau kafir. Ini kerana mereka tidak berlaku adil pada diri sendiri. Dengan meletakkan diri mereka pada tempat yang tidak tepat.
Sebelum dilahirkan, manusia telah mengikat janji menjadi saksi ketuhananNya. Seperti mana firmanNya di dalam al-Qur’an,
وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُواْ بَلَى شَهِدْنَا
dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan daripada anak Adam – daripada tubuhnya- Zuriatnya dan menyuruhnya bersaksi terhadap dirinya dengan berkata: Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. [al-A’raaf 7:172]
Oleh itu sesiapa yang berpegang teguh pada persaksian terhadap ketuhananNya, dengan berperanan sebagai hamba Tuhan. Telah meletakkan diri pada tempat yang tepat. Atau boleh juga disebut sebagai berlaku ‘adil pada diri sendiri’. Bagi yang melakukan sebaliknya, telah ‘menzalimi diri sendiri’.
Maka dengan itu, ‘adl dalam Islam boleh disimpulkan sebagai meletakkan sesuatu pada tempatnya.
KEADILAN UNIVERSAL
Sukan Olimpik Moden yang sudah berlangsung hampir seabad lamanya. Tidak pernah menyaksikan pertarungan olahraga antara lelaki dan perempuan. Atau pertarungan antara atlit normal dan atlit kurang upaya.
Malah di sukan olimpik buat orang kurang upaya (paralympic), adalah sebuah penipuan sekiranya individu normal menyelit sama bertanding. Adakah pengasingan tersebut sebuah penghinaan?
Tiap manusia normal pasti merasakan perbuatan meletakkan jaguh pecut dunia, bertanding dengan seorang yang kurang upaya sebagai tidak waras. Ini kerana setiap perkara itu perlulah diletakkan kena pada tempatnya.
Apabila kita meletakkan tiap sesuatu itu pada tempat yang sepatutnya. Itulah keadilan.
alFaisal
Kuala Lumpur
28 Februari 2009 / 3 Rabiul Awal 1430
2.25 pm




2 comments
Alhamdulillah.cukup cantik penjelasan adil yang dibawakan.
saya pun dah tersilap dalam melihat adil sebelum ini,biasanya adil itu di pandang sama rata atau 50-50..
artikel ini menunjukkan adil dalam makna yang lebih sempurna!
terima kasih bro krn share artikel ini =D hehe
btw beb..aku nak tanya kt ko sket laa pasal hak dan hutang dlm islam..nnti ar aku ym ko...
gegegege
Post a Comment