| 31 comments ]

Lepas nikah dah halal keluar berdua-duaan


Alhamdulillah, segala puji selayaknya buat Dia yang menyatukan dua hati dan menjadi satu ikatan. Segala puji sekali lagi buat Tuhan sekalian alam, majlis perkahwinan saya berjalan dengan lancar.

Setinggi-tinggi penghargaan buat yang sudi hadir ke majlis pernikahan dan walimah kami di Batu Pahat. Bagi yang tidak dapat hadir, doa-doa yang kalian kirimkan amat besar maknanya buat kami. Kerana kami hanya insan kerdil dan dhaif yang baru hendak memulakan pelayaran bahtera kehidupan berumahtangga.

InsyaAllah, gambar-gambar ketika hari perkahwinan dan entri-entri berkaitan akan menyusul apabila ada kelapangan buat saya. Sewaktu ini, ada urusan yang lebih perlu didahulukan. Isteri sedang menanti untuk menonton filem Sang Murabbi bersama :)


Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. [ar-Rum 30:21]


alFaisal
21 Disember 2008 / 23 Zulhijjah 1429
10.51
Batu Pahat



Baca selebihnya...
| 14 comments ]


Pelik, memang pelik!

Itulah yang bermain di fikiran saya suatu masa dahulu. Ketika sahabat saya Sabau, secara tiba-tiba melamar bantuan saya untuk menjadi exco sebuah organisasi di kampus. Pada ketika itu, untuk sekadar menyertai menjadi ahli organisasi tersebut pun, merupakan perkara terkahir di benak ini.

Namun atas sedikit kesedaran ingin membantu, saya menerimanya. Digalaskan amanah menjaga Biro Akademik Institusi Usrah . Jawatan tu menambah hairan memandangkan segala berkaitan akedemik bukanlah minat saya ketika itu. Sekali lagi kesedaran ingin membantu menjadi sedikit semangat yang membuatkan saya menerima tanggung jawab tersebut dan mencuba kemampuan.

Sewaktu bengkel untuk para hi-com dan exco, diaturkan satu acara bagi lebih mengenali antara satu sama lain. Setiap orang dikehendaki menulis satu soalan yang ditujukan kepada mana-mana exco atau hi-com untuk mereka jawab. Soalan biasanya sekitar tentang latar belakang diri. Masih saya ingat soalan yang ditujukan pada saya tertulis di atas kertas.

“Kenapa memakai rantai?”

Saya terlupa saya bukan lagi berada di kalangan mereka yang biasa dan selesa dengan imej seluar yang seakan terlondeh, rantai di leher dan gelang di tangan. Waima menyedari hal tersebut ketika itu, saya masih dengan sikap keras kepala ‘peduli apa’.

Akan tetapi, tanggung jawab, secara beransur-ansur ‘mengajar’ saya untuk matang. Dengan tanggug jawab yang dipikul saya belajar bahawa saya bukan hidup seorang diri di dunia ini. Tanggung jawab memerlukan saya mendidik diri untuk mengubah sikap dan tabiat.

BELAJAR BERTANGGUNG JAWAB DAN DARI TANGGUNG JAWAB

Gabungan tanggung jawab dan ilmu telah membuka sebuah jalan. Di situlah bermulanya perjalanan dan usaha berterusan untuk sentiasa memperbaiki diri. Kesilapan di mata saya adalah rezeki, untuk saya belajar apa yang betul.

Saya yakin hidayah adalah kurnia daripada Allah SWT. Tanggung jawab yang dipikul sekadar menjadi perantaraan hidayah. Maka rugilah barangsiapa yang memikul sesuatu tanggung jawab tetapi tidak mengambil peluang tersebut untuk menuai hidayah Allah SWT. Tidak mengambil peluang untuk belajar dan memperbaiki diri.

Atas pengalaman lalu, saya sentiasa melihat sebarang tanggung jawab yang terpaksa dipikul sebagai peluang untuk mematangkan. Sebagai medium mendisplinkan diri.

Dengan izin Allah SWT, saya akan menambah sebuah lagi amanah yang tidak mudah untuk dipikul. Jika sebelum ini hal-hal dunia sudah cukup memberatkan fikiran. Maka akan bertambah sebuah lagi dunia untuk dipertanggung jawabkan.

Sekiranya diizinkan Allah SWT Sabtu ini akan berlangsungnya majlis pernikahan antara saya dan tunang saya. Sememangnya perkahwinan bukannya sesuatu amanayang ringan. Persediaannya bukan sekadar persediaan material semata.

Tetapi saya juga percaya ia tidaklah sehingga ke tahap menuntut kesempurnaan diri untuk melangkah masuk ke dimensi itu.

Saya masih belum sempurna, malah jauh daripada sempurna. Tetapi saya bersyukur kerana ketidaksempurnaan saya, saya belajar untuk meyakini bahawa ada yang Maha Sempurna. Dengan menyedari ketidaksempurnaan diri, memberi kesedaran untuk terus memperbaikinya.


http://edry-kam.weddingkami.com


Saya berharap pembaca Demipena.com sekiranya tidak dapat hadir, dapat mengirimkan doa buat kami. Moga perkahwinan kami menjadi medan menuai redha dan hidayah Tuhan. Moga dengan tanggung jawab yang lebih berat, kami menemui jalan ke darjat yang lebih tinggi.



alFaisal
Kuala Lumpur
16 Disember 2008 / 18 Zulhijjah 1429
12.00 am
http://demipena.com




Baca selebihnya...