“Dugaan apa yang terasa macam berat tu?”
“Dugaan diri sendiri.”
“Maksud you dugaan berdepan dengan nafsu?”
“Ya, it is not that easy.”
“Hehe melawan nafsu diri sendiri sememangnya lebih susah daripada melawan Hulk Hogan!”
Begitulah lebih kurang perbualan saya dengan seorang sahabat yang sedang berjinak-jinak dengan puasa. Saya sangat mengkagumi kegigihannya cuba mendalami ajaran Islam. Saya tertarik dengan ‘misinya’ untuk memahami Islam terlebih dahulu. Sebelum menyertai hamba-hamba Tuhan yang tunduk dan berserah kepada Tuhan yang satu (Muslim). Hinggakan kadangkala saya melihat kesungguhannya melebihi kesungguhan sebahagian kita yang berpuas hati sekadar menerima Islam secara warisan.
Di saat semakin banyak Muslim warisan lesu, memilih tidak berpuasa atas pelbagai alasan. Letih, lapar, tak tahan. Malah ada yang sengaja tidak mahu kerana tidak nampak untuk apa dia berpuasa. Sahabat saya itu sudah merenungi puasa melebihi pandangan lapar dan dahaga. Sudah merenungi perihal bertarung dengan nafsu.
Betapa malunya Muslim warisan yang Islamnya sekadar kerana orang tuanya Islam!
Melihat keadaan sahabat saya tadi, saya merasakan perjuangan dalam puasa itu boleh dipecahkan kepada dua kelompok asas.
Kelompok pertama adalah mereka-mereka yang masih menjaga puasa sekitar hal fizikal semata. Menjaga puasa sekitar hal batal atau tidak, melihat hanya lesu atau menyegarkan. Selebih dari itu tidak pula direnungi. Oleh itu jadilah mereka orang-orang yang berpuasa tetapi tidak berusaha menjaga hati, fikiran dan keinginan.
Bayangkan mereka yang tewas pada peringkat awal ini lagi. Untuk berpuasa pun beralasan tak larat, letih, tak berupaya dan bermacam sebab. Lalu terus memilih tidak berpuasa. Tentu jauh sekali bagi mereka ini dapat mendisiplinkan hati, fikiran dan keinginan. Akhirnya mereka bukan lagi hidup, tetapi sekadar hidup-hidupan.
Kelompok kedua. Di tahap yang lebih baik apabila seseorang itu bukan sekadar melihat puasa sekitar hal batal atau tidak. Ia juga merenungi aspek rohani puasa itu. Berusaha menundukkan keinginan dan nafsu. Berusaha mengelakkan sikap-sikap negatif seperti mudah marah. Berusaha menundukkan pemikiran dan hati daripada melanggar perintah Allah SWT.
Jadi sudah sejauh manakah usaha puasa kita? Apakah barangkali lebih teruk daripada seorang bukan Islam yang baru bermesra-mesra dengan Islam?
Saya mengingatkan terutama sekali diri saya. Dan Saya kongsikan juga dengan para pembaca. Ramadhan masih berbaki 15 hari lagi untuk pecutan terakhir bagi menggondol piala. Sayang sekali kalau pada waktu ini yang disibukkan adalah bergoyang menikmati lagu Hari Raya. Ternanti-nanti hari yang mungkin tidak layak kita raikan. Kerana jiwa, hati dan akal masih belum kembali kepada keadaan fitrah. Wallahua’lam.
alFaisal
Kuala Lumpur
16 September 2008 / 16 Ramadan 1429
6.46 am
http://demipena.com


4 comments:
aku pasang lagu raya cam tahun lepas aku buat kat bilik 4001..camner tu bro,,gagagagaga...
Kau dikecualikan dalam kes ni sebab kau memang ada penyakit melayan perasaan. Raya tak raya pun kau akan melayan jiwa haha
"Hari yang dinanti2kan itu, mungkin tak layak KITA raikan"
aduh..bagaimana puasaku..?
semoga puasa ini menjadi titik transformasi diri...
Post a Comment