| 2 comments ]

Tengah hari Oktober 2005 di tanah lahir baginda Rasulullah SAW agak membahang. Sedikit sebanyak mencabar diri saya yang pertama kali mengerjakan ibadah puasa di tanah Arab. Namun saya tetap bersyukur kerana tidak mengalami sakit tekak seperti yang dibimbangi sebelum saya bertolak. Sepanjang di sana, hampir setiap masa saya bersama Abang Rasul kerana kami masing-masing datang berseorangan ke tanah suci.

“Kau tau tak, pernah sekali tu abang naik first class…”, Abang Rasul memulakan perkongsian pengalamannya. Bekerja di bahagian Coporate Safety untuk Malaysia Airline System (MAS) sememangnya memberikan banyak peluang menaiki kelas pertama.

“Ada la seorang Pak Arab ni. Macam biasalah berjubah semua. Bila kapal terbang berlepas je, dia masuk ke toilet tukar pakai T-Shirt dengan seluar pendek”, Abang Rasul tersenyum.

“Haha macam tu pulak”, respon saya barangkali lucu mendengar tingkah laku Pak Arab tersebut.

“Bukan tu je, dia siap mintak kat pramugari beer, whisky, semua dia nak try”, ujar Abang Rasul.

“Lepas tu bila nak kapal terbang dah nak sampai Malaysia. Abang tengok dia masuk balik toilet pakai semula jubah dia. Lepas tu dia panggil lagi pramugari, kau tau dia tanya apa?”

“Dia tanya apa?” Saya tertanya apa lagi pula Pak Arab tu nak minta.

“Dia tanya pramugari tu, kat Malaysia senang dapat makanan halal tak”, jawab Abang Rasul menggeleng.

Saya turut sama menggeleng. Pak Arab tersebut risau benar apakah di Malaysia mudah mendapatkan makanan halal. Bagaikan tidak tahu atau pura-pura tidak tahu, arak yang diteguknya sebelum itu lebih jelas haram. Seolah-olah Tuhan itu ‘wujud’ ketika hendak memilih makanan. Namun Tuhannya ‘hilang ghaib’ ketika dia sedang meneguk air haram tersebut.

Tidak jauh bezanya sikap sebegitu dengan insan yang begitu bimbang dan jijik tersentuh kulit khinzir. Tetapi berwajah selamba menyentuh perempuan atau lelaki yang tidak halal baginya. Mirip juga dengan amalan memulakan majlis dengan berdoa meminta mengharap kepada Tuhan. Tetapi pertengahan majlis diisi dengan gelekan lelaki dan perempuan, seolah perlakuan sedemikian Tuhan izinkan. Juga seperti bersahur dan berpuasa tetapi solat diabaikan. Bagaikan puasa itu kerana Ramadhan dan bukannya kerana Allah SWT.



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ



Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. [al-Baqarah 2:208]



Menurut Ibn ‘Abbas RA, ayat tersebut ditujukan kepada Ahl al-Kitab yang telah beriman kepada Allah SWT tetapi ada antaranya masih mengikut sebahagian hukum Taurat dan syariat yang sebelumnya. Dengan itu Allah SWT menitahkan mereka mengikut syariat Nabi Muhammad SAW sepenuhnya. Bukan ambil sebahagian dari baginda dan sebahagian lagi dipungut dari kepercayaan-kepercayaan lama.

Moga dijauhkan diri saya dan pembaca sekalian daripada menjadi hamba Allah SWT, yang tunduk dengan ketaatan pada sebahagian perkara. Ingkar dan menyombong diri pada sebahagian perkara yang lain. Moga kita menjadi hamba yang menyerah diri pada Tuhan secara menyeluruh. Bukan menjadikan nafsu sebagai lampu penyuluh.


alFaisal
Kuala Lumpur
31 Ogos 2008 / 29 Syaaban 1429
11.00 pm
http://demipena.com

2 comments

Ahmad Aizuddin Sudari said... @ September 6, 2008 11:53 PM

ni kes bila naik ke awan biru dia lupa daratan hijau la ni.. hehehe.

alFaisal said... @ September 7, 2008 2:43 AM

hehe kalau Pak Arab tu dari kawasan padang pasir...maka dia lupa bebutir pasir kot :D

Post a Comment