Oleh alFaisal
Cyberjaya
19 Mei 2008 / 13 Jamadil Awal 1429
http://demipena.blogspot.com
Umat Islam hari ini lebih ramai takutkan hantu daripada Tuhan tidaklah menandakan gawatnya aqidah. Lebih takut kepada hantu namun santai saja apabila tidak solat atau berbuat kemungkaran hanyalah masalah terpencil. Umat Islam selepas menonton filem seram, menjadi semakin takut pada hantu bukan pada Tuhan. Bukanlah juga petanda filem itu mampu menggawatkan aqidah.
Maaf kerana perenggan diatas begitu sarcastic. Namun itulah gambaran saya peroleh apabila saya terbaca di Utusan Online tulisan bertajuk ‘Filem Seram Tidak Merosakkan’. Ia memaparkan komen beberapa penerbit filem seram membidas kenyataan seorang mufti yang menegur tentang pembikinan filem-filem seram. Apabila sebut filem seram, kita perlu faham ianya kebiasaan bukan saja memaparkan hantu. Tetapi turut perlu membangkitkan rasa seram dan takut di kalangan penonton.
Di dalam temubual, para penerbit filem seram merasakan aqidah umat Islam tidaklah gawat atau akan gawat. Jadi tiada salahnya filem-filem sebegitu diperbanyakkan.
Sekiranya kenyataan mufti tersebut tidak begitu terperinci, maka saya menyokong para penerbit tersebut supaya diperincikan lagi teguran. Ini kerana tidak semua orang mempunyai pemahaman berkenaan agama pada tahap yang sama. Barangkali kenyataan yang umum tidak mampu dihadam dengan faham oleh para penerbit tersebut.
Bagi yang faham, pasti jelas kerosakkan aqidah bukan terhad kepada masalah menyembah berhala atau kuburan.
Manakala takut yang membawa syirik pula adalah seperti takut kepada orang yang telah meninggal dunia kononnya kembali mengganas. Takut kepada makhluk ghaib seperti jin dan syaitan dan sebagainya. Ketakutan ini tentunya wujud disebabkan keyakinan bahawa makhluk-makhluk ini dengan sendiri punya kuasa memudaratkan. Seperti mana yang diisyaratkan Allah SWT dalam firmanNya,
أَلَيْسَ اللَّهُ بِكَافٍ عَبْدَهُ وَيُخَوِّفُونَكَ بِالَّذِينَ مِنْ دُونِهِ
“Bukankah Allah cukup untuk mengawal dan melindungi hambaNya (yang bertakwa)? Dan mereka menakutkanmu (wahai Muhammad) dengan yang mereka sembah yang lain dari Allah?
” [az-Zumar 39:26]
Maka bukankah cerita-cerita seram merupakan antara medium yang sangat ‘membantu’? ‘Membantu’ menyuburkan ketakutan bentuk syirik terhadap makhluk-makhluk ghaib. Lebih seram suatu cerita itu, lebih menakutkan hantunya bermakna lebih hebatlah filem itu. Kalau ada pun mesej Islam yang terselit di dalam filem itu boleh dikatakan beberapa peratus sahaja hingga tenggelam dibayangi hantu-hantu.
Tidak jauh beza cubaan itu dengan tindakan menayangkan dua jam adengan penuh berahi dan ghairah syahwat. Kemudian di sepuluh minit terakhir memaparkan pasangan yang bermukah ditangkap. Dan keluar ayat al-Qur’an di skrin menyebut ‘la taqarabbu ziina’. Dengan harapan ianya akan mendidik penonton menjauhi zina.
Turut ditemubual di dalam tulisan tersebut adalah seorang penerbit filem
“Kenalah realistik sikit. Ini (filem seram) satu hiburan,”
Dan kemudian disertakan teknik yang sangat lazim saya lihat hari ini. Saya namakan teknik ‘kenapa tidak’. Sepertimana yang penerbit itu gunakan,
“…banyak lagi perkara yang lebih ‘menyeramkan’ yang sepatutnya diambil peduli misalnya kes anak-anak muda terutama “pelakon bertudung” yang berlambak disebarkan di telefon bimbit mahupun Internet atau kisah “beli-membeli” orang politik kita kerana melibatkan negara.”
Hari ini, tindakan menegur sesuatu kemungkaran tidak lagi mudah dengan adanya teknik ‘kenapa tidak’. Bagaimana teknik ini digunapakai? Misalnya kita menegur agar janganlah berpakaian seksi. Maka jawab balas yang boleh dijangkakan, “Daripada sibuk tegur aku berpakaian seksi ‘kenapa tidak’ kau tegur orang-orang hisap rokok tu. Diorang lagi membahayakan kesihatan!”
Bagaimana agaknya reaksi mereka ini, andaikata suatu hari ketika mereka menegur kesilapan anak mereka. Anak mereka menyuruh mereka membetulkan dulu kesilapan sistem pendidikan baru nasihat anak!
ROH ORANG MATI KEMBALI JADI HANTU?
Saya lebih bimbangkan iktikad saudara-saudara Muslim saya. Oleh itu, daripada saya membahaskan satu per-satu dialog para penerbit itu. Yang pastinya akan melakukan apa sahaja untuk menjustifikasikan tindakan mereka. Baik saya menulis sesuatu bagi memperbetulkan ‘tunjuk ajar’ silap yang pernah mereka ‘ajar’ di pawagam-pawagam atau kaca TV.
Permasalahan yang paling lazim saya temui adalah pemahaman terhadap hubung kait roh dan hantu. Saya terkejut mengetahui tidak sikit orang yang saya jumpa percaya bahawa hantu itu adalah dari roh orang mati. Mereka kembali semula dari kubur membuat kekacauan.
Sebelum kita mengupas lebih jauh. Perlu kita jelas bahawa persoalan ini adalah persoalan alam ghaib. Tidak ada yang lebih mengetahui mengenai perihal alam ghaib melainkan Allah SWT. Rasulullah SAW pula mengetahuinya melalui wahyu daripada Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam al-Qur’an,
عَالِمُ الْغَيْبِ فَلا يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا إِلا مَنِ ارْتَضَى مِنْ رَسُولٍ فَإِنَّهُ يَسْلُكُ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ رَصَدًا
“Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun; melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redai-Nya; maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).” [al-Jinn 72: 26-27]
قُلْ لا أَقُولُ لَكُمْ عِنْدِي خَزَائِنُ اللَّهِ وَلا أَعْلَمُ الْغَيْبَ وَلا أَقُولُ لَكُمْ إِنِّي مَلَكٌ إِنْ أَتَّبِعُ إِلا مَا يُوحَى إِلَيَّ
“Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku.” [al-An’aam 6:50]
Jadi jelas bahawa wajib kita kembali kepada al-Qur’an dan hadis sahih untuk mengetahui mengenai hal-hal ghaib.

Di dalam Islam, tidak wujud kefahaman roh si mati kembali semula selepas mati atau roh tidak tenang datang ke dunia menjadi hantu. Ini kerana roh orang yang telah mati telah dipisahkan daripada dunia. Firman Allah SWT,
حَتَّى إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ كَلا إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا وَمِنْ وَرَائِهِمْ بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ
“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada DINDING (barzakh) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)” [al-Mu'minuun 23:99-100]
Di dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Adzim oleh Ibn Katsir rahimahullah, dinukilkan:
وقال مجاهد: البرزخ: الحاجز ما بين الدنيا والآخرة
Mujahid (anak murid Ibn Abbas radhiallahu’anh) berkata: "Barzakh adalah apa yang diantara dunia dan akhirat.
وقال محمد بن كعب: البرزخ: ما بين الدنيا والآخرة. ليسوا مع أهل الدنيا يأكلون ويشربون، ولا مع أهل الآخرة يجازون بأعمالهم
Muhammad bin Ka`b berkata: "Barzakh adalah apa yang diantara dunia dan akhirat. (Mereka di alam barzakh) bukan penduduk dunia ini, (yang perlu) makan atau minum. Bukan juga penduduk akhirat, dimana mereka diberi ganjaran dan hukuman ke atas amal mereka."
وقال أبو صخر: البرزخ: المقابر، لا هم في الدنيا، ولا هم في الآخرة، فهم مقيمون إلى يوم
Abu Sakhr berkata: "Barzakh itu merujuk kepada kubur. Mereka bukan di alam dunia bukan juga di alam akhirat. Dan mereka akan kekal di situ sehinggalah hari (dibangkitkan)" [Tafsir Ibn Katsir, jld. 5 ms. 494]
Yang turut dijadikan hujah berkenaan tidak akan kembalinya roh orang telah mati ke dunia baik untuk apa tujuan pun adalah Firman Allah SWT,
اللَّهُ يَتَوَفَّى الأنْفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَالَّتِي لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَى عَلَيْهَا الْمَوْتَ وَيُرْسِلُ الأخْرَى إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى
“Allah SWT memegang jiwa (roh) ketika matinya (seseorang) dan memegang jiwa(roh) orang yang belum mati di waktu tidurnya, maka Dia tahanlah jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan..” [az-Zumar 39:42]
Jadi pemahaman bahawa hantu itu adalah roh orang mati yang kembali untuk mengacau adalah sama sekali bertentangan dengan petunjuk wahyu.
CUKUPLAH…
Cukuplah dengan lambakan majalah yang menggunakan tema seram. Yang saya tidak nampak bagaimana ia menaikkan nilai intelek pembaca. Memadailah dengan kaca TV kini semakin dilonggokan dengan pelbagai cerita merepek.
Jangan kerana atas hujah ‘jangan mengongkong minda’ dan ‘memandang rendah pemikiran penonton’. Maka dihasilkan karya yang sebenarnya memandulkan aqidah dan tidak meningkatkan nilai pemikiran penonton.
Daripada bertanya samada al-Qur’an dan hadis-hadis ADA ATAU TIDAK menceritakan tentang alam ghaib. Lebih molek perhatikan bagaimana ia membicarakan perihal alam ghaib dan jadikan ia petunjuk secara menyeluruh. Bukan sekadar memetik mana yang sedap dipegang.


10 comments:
betol tu! org buat filem skang majoritinye fikir nak untung je! maklum la beras dah naik. minyak dah naik. semua dah naik. nak buat camne. 'waktu' da tiba.
urmm nothing else i should say than to agree to what you've written. keep up the good work. reading works from people like you actually makes me realize that i'm not alone 'worrying' what's going to happen to the future generations; my kids and my grandchildren. :|
lawak baca komen ahmad idham,jelas cara balas bengang,ustaz mana satu larr yang dye tya sampai membenarkan unsur2 magic islam dalam citer congkak tu..siap ada tulis Allah and kuar power..cam tok cha dah..dan seru2 yang ghaib suh kuar..tak tau tuh suma ada tak Quran n sunnah ajar..huhu
pumpkin: It's about time people not only worry, but also concern about what happened to the surrounding. Besides the negative effect of horror movie, i'm concern too on how people justified something that clearly a fault.
ed.al-firdaus: Dalam cerita Jangan Pandang Belakang pun ada tulis nama Allah pasti keluar power. Tak pernah pulak jumpa Nabi s.a.w rawat sihir macam tu.
Pada pendapat aku la kan, kebanyakkan cerita seram bukannya memupuk perasaan takut dalam hati penonton, tetapi merealisasikan perasaan takut itu yang sudah sedia ada. Maksud aku, cerita seram bukannya membuatkan orang takut hantu, tetapi orang itu sendiri memang dah takut hantu. Cerita itu hanya merealisasikan ketakutan itu.
Korang mesti sedar yang kebanyakkan cerita seram yang datang dari Asia adalah berunsurkan seram spiritual (The Ring, The Phone, The Grudge, The NtahApeApeLagi) dan cerita seram yang datang dari Barat, especially Hollywood, adalah berunsurkan seram corporeal, dimana protaganist itu diancam oleh bahaya yang benar-benar wujud, seperti pembunuh bersiri, psychopath, cannibal dan lelain yang sejemaah dengannya.
Ini menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya sifat takut itu bukannya datang dari filem, tetapi takut itu dipupuk setelah dibesarkan dalam kultur masyarakat mereka sendiri. Oleh sebab itulah kekadang cerita hantu yang begitu seram bagi seseorang tidaklah begitu seram bagi seorang lagi; demographic yang first tuh percayakan hantu betol-betul dan demographic yang second tuh berpendapat hantu itu hanyalah khayalan semata-mata.
Apa-apa pon, Malaysia memang lom reti lagi buat cerita seram. Kalo setakat flash gambar pompuan pakai mekap pontianak bersertakan jeritan yang kuat, baik aku gie internet tengok Flash prank jer.
Thanks Rashid for the good opinion. Ya di negara luar 'horror film' tu sendiri tidak semestinya cerita hantu. Malah kebanyakkannya 'filem seram' di barat bukan cerita hantu kalau tak silap aku. Filem seram yang dibicarakan entri kali ni pula berbahasa dalam konteks Malaysia. Di Malaysia, kalau sebut filem seram, apa lagi yang terlintas. Tentu sekali bukan horror seperti mana horrornya Ted Bundy :)
Aku setuju dengan ayat merealisasikan perasaan takut. Kalau perasan dalam entri di atas aku gunakan perkataan yang pada aku tak jauh lari dari makna tu, 'menyuburkan ketakutan'. Maknanya filem seram bertindak bagaikan baja. Didikan supaya takut hantu yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat, disuburkan lagi dengan wujudnya filem2 seram bercorak hantu syaitan ni.
Cuma yang lebih menggangu aku apabila cerita2 hantu ni cuba menggunakan agama untuk menjustifikasikan 'didikan' tidak berfaedah mereka. Sedangkan mereka sendiri Muslim.
By the way your last point, memang kekadang Internet Flash Prank lagi 'advance' haha.
kalau nak ckp tentang cite seram, i din find nothing inside it, except it's all just a nonsense thing.. ntah lah.. honestly, dgn wujudnya filem2 seram mcm nie, pemikiran manusia jadi semakin cetek.. seolah2 xde benda lain yg perlu di takut lagi selain itu.. erm...
kelmarin jiran bilik saya kena histeria...
macam nak pengsan jugaklah menjaga dia sbb sgt agresif...
dengan 6 orang lelaki pon dia masih boleh melawan...
sebenarnya saya mushkil ianya disebabkan dirinya sendiri yang sengaja berlakon ataupn betul ada benda yang memasuki badannya...
betul la jugak kata2 anda tu kerana masa saya solat maghrib tu pon hati saya x tenang sbb dgar bunyi macam2...
semoga Allah kuatkan benteng iman dan kekuatan dalam diri...
haiyo.. manyak susahlah ini mcm.. buat cite seram komplen. cinta lagi kompelin.. sains fiction pun bilang talak bagus.. jgn buat pilemlah biar Msia terus mundur. Sana sini kemplen sj oooo
Orang 'complain' pun nak 'complain' ke? Mundur la macam ni.
Mundurnya minda yang tidak boleh terima realiti kepelbagaian pandangan.
Post a Comment