Realiti masyarakat kita, dari seorang anak itu kecil lagi sudah ditanam di dalam minda bahawa betapa jelik daging khinzir dan bersungguh-sungguh menerapkan bahawa Allah dan Rasul mengharamkan memakan daging khinzir. Sehingga ke tahap masakan yang dimasak seorang berbangsa cina yang vagetarian (hanya memakan sayur) yang tidak dicampur khinzir pun tidak berani dan tidak lalu dijamah, hanya kerana bangsa cina lazim diketahui amat menggemari daging khinzir. Tetapi pada suatu keadaan lain, ianya berbeza dimana kebanyakkan umat Islam hari ini boleh merasa amat selesa meratah menikmati daging saudara sesama Islam samada sedar atau tidak sedar. Malah ada sehingga menghalalkannya. Benarkah fenomena ini sudah lama wujud? Ya, perbuatan tersebut dinamakan ghibah.
Apakah yang dimaksudkan dengan ghibah? Rasulullah s.a.w bersabda:
"أتدرون ما الغيبة؟" قالوا: الله ورسوله أعلم. قال "ذكرك أخاك بما يكره" قيل: أفرأيت إن كان في أخي ما أقول؟ قال "إن كان فيه ما تقول، فقد اغتبته. وإن لم يكن فيه، فقد بهته"
"Tahukah kalian apakah ghibah itu ?" Mereka menjawab :"Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui." Beliau bersabda: "Iaitu engkau menyebut saudaramu dengan sesuatu yang dibencinya." Ditanyakan :" Bagaimana halnya jika apa yang aku katakan itu (memang) terdapat pada saudaraku ?" Beliau menjawab : "Jika apa yang kamu katakan terdapat pada saudaramu, maka engkau telah melakukan ghibah (mengumpatnya) dan jika ia tidak terdapat padanya maka engkau telah berdusta atasnya". [ Sahih Muslim – no: 2589]
Secara ringkas ghibah bermaksud menyebutkan sesuatu yang terdapat pada diri seorang muslim sedangkan ia tidak suka (jika hal itu disebutkan). Baik dalam keadaan soal jasmaninya, agamanya, kekayaannya, hatinya, ahlaknya, bentuk lahiriahnya dan sebagainya. Tidak juga semestinya dengan perkataan sahaja, ianya termasuk juga perbuatan mnyebar-nyebarkan aib, meniru tingkah laku atau pergerakan tertentu daripada orang yang diumpat dengan niat mengolok-olok, mengumpat dalam bentuk lisan atau pun teks dan sebagainya. Kejelekkan ghibah adalah sama jeleknya dengan memakan daging saudara sendiri. Ianya dijelaskan dalam firman Allah:
وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ
Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? [al-Hujurat 49:12]
Bagai tidak terasa akan haramnya melakukan ghibah, umat Islam masih selesa mengumpat akan keburukan-keburukan saudara se-Islam yang lain. Baik di alam realiti hinggalah ke alam siber. Bergosip menceritakan aib orang lain bagaikan perbuatan itu baik disisi Islam. Apabila ditegur maka akan datanglah pelbagai hujah dengan logik akal yang lemah bahawa perbuatan itu tidak salah. Bagaikan
كل المسلم على المسلم حرام. دمه وماله وعرضه
Setiap muslim terhadap muslim lainnya diharamakan darahnya, kehormatannya, dan juga hartanya. [Sahih Muslim – no: 2564]
Jika ditanya apakah meniduri ibu sendiri menjijikkan? Pasti mana-mana manusia dengan akal yang sihat akan mengatakan ianya perbuatan sangat terkutuk dan memberi gambaran dosa yang besar. Apakah ada dosa lain yang lebih dasyat? Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
الربا اثنان و سبعون بابا أدناها مثل إتيان الرجل أمه و إن أربى الربا
استطالة الرجل في عرض أخيه
Riba itu ada tujuh puluh dua pintu, yang paling ringan daripadanya sama dengan seorang laki-laki yang menyetubuhi ibunya (sendiri), dan riba yang paling berat adalah berkata buruk seorang laki-laki atas kehormatan saudaranya. [Silsilah al-Ahadits as-Sahihah – no: 1871]
Dan ia juga berkait rapat dengan perbuatan menghebah-hebahkan aib seorang muslim yang lain dan telah bersabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
ومن ستر مسلما، ستره الله في الدنيا والآخرة
Siapa saja yag menutupi (aib) seorang Muslim, maka Allah akan menutupi (aib) nya di dunia dan akhirat. [Sahih Muslim - no: 2699]
Orang yang mengumpat keburukan saudaranya sendiri pasti tidak suka diumpat keburukannya oleh orang lain. Hikmah diharamkannya perbuatan yang tercela itu adalah kerana Islam menjaga kehormatan seoseorang Muslim. Perbuatan mencela, menceritakan keburukan seseorang baik berdepan atau mengumpat di belakangnya adalah perbuatan ingkar kepada Allah, Rasul-Nya dan melakukan khianat kepada saudara se-Islamnya. Moga kita dijauhi daripada menjadi pelaku ghibah atau orang yang turut sama mendengar dan menikmati ghibah.
Edry Faizal bin Eddy Yusof
Timb. Amir Institusi Usrah Cyberjaya 06/07
Risalah Jumaat, jld. 14, Trimester 3, 9 Mac 2007


0 comments:
Post a Comment