| 3 comments ]

Lazimnya selepas selesai menunaikan solat, sebelum beredar para muslimin akan saling bersalaman. Seandainya ditanya apakah sebabnya, rata-rata pasti menjawab ianya adalah atas tujuan menjaga ukhwah, merapatkan silaturrahim dan sebagainya. Niat yang bagus dan baik. Cumanya mengapa usaha merapatkan silaturrahim hanya dilakukan di luar solat? Di luar solat kita ingin merapatkan persaudaraan Islam tetapi di dalam solat kita bagaikan geli terhadap saudara kita sendiri. Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman yang bermaksud:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ


Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara..[al-Hujurat 49:10]

Berkenaan pentingnya keutuhan kasih sayang sesama saudara se-Islam, boleh juga dilihat di dalam hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Antaranya beliau bersabda:

لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه


Tidak sempurna keimanan seseorang daripada kalian, sebelum dia mencintai saudaranya (sesama Muslim) sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri. [Shahih al-Bukhari - hadis no: 13]

Dan sepatutnya nilai kasih sayang dan usaha merapatkan tali silaturrahim ini dijaga di dalam solat sebagaimana yang diajar Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Bagaimanakah caranya? Caranya ianya dengan merapatkan saf, bahu bertemu bahu dan tumit bertemu tumit. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

أقيموا الصفوف، وحاذوا بين المناكب، وسدوا الخلل، ولينوا بأيدي إخوانكم" لم يقل عيسى: "بأيدي إخوانكم" "ولا تذروا فرجات للشيطان، ومن وصل صفاً وصله اللّه، ومن قطع صفًّا قطعه اللّه


Luruskan saf kalian, dan luruskanlah bahu-bahu kalian, dan tutuplah celah-celah. Jangan biarkan celah-celah tersebut untuk syaitan. Barangsiapa yang menyambung saf, nescaya Allah akan menyambung(urusan) nya. Barangsiapa yang memutuskan saf, nescaya Allah akan memutus(urusan) nya. [Dikeluarkan Abu Daud di dalam Sunannya – no: 666. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib – no: 495]

Diriwayatkan dari Nu'man bin Basyir radhiallahu ‘anh:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يسوي صفوفنا. حتى كأنما يسوي بها القداح. حتى رأى أنا قد عقلنا عنه. ثم خرج يوما فقام حتى كاد يكبر. فرأى رجلا باديا صدره من الصف. فقال "عباد الله! لتسون صفوفكم أو ليخالفن الله بين وجوهكم".

Adalah Rasulullah SAW meluruskan saf kami, seolah-olah meluruskan anak panah sehinggalah beliau berpuas hati bahawa kami telah memenuhi pangilannya. Pada satu hari, beliau keluar untuk solat. Beliau berdiri dan ketika hendak takbir, kelihatan seorang yang dadanya kehadapan dari saf. Beliau pun besabda: “ Hendaklah kalian luruskan saf kalian, atau Allah akan memecahbelahkan kesatuan kalian.” [ Sahih Muslim – no: 436]



Jelas bahawa saf yang dirapatkan dengan betul adalah penjamin kesatuan umat Islam yang ampuh. Namun realiti hari ini apabila cuba merapatkan tumit kita dengan tumit mereka yang berada di sebelah. Maka berlakulah adengan kejar mengejar tumit bagaikan hero hindustan mengejar penjahat. Ada sebahagian pula akan menjauh setiap kali dirapatkan bahu kepadanya, memberikan gambaran tidak selesa untuk berlaga bahu dengan saudara se-Islam. Semua perbuatan ini seolah-olah menzahirkan rasa geli untuk merapatkan saf. Mari kita renungkan sebuah atsar daripada seorang sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Anas bin Malik radhiallahu ‘anh berkata:

" فلقد رأيت أحدنا يلصق منكبه بمنكب صاحبه , و قدمه بقدمه " . فلو ذهبت تفعل هذا اليوم لنفر أحدكم كأنه بغل شموس .

Masing-masing dari kami (dahulu) menempelkan bahunya ke bahu kawan, dan mengenakan kakinya ke kaki kawannya. Jika kamu lakukan pada zaman sekarang, nescaya mereka menjadi seolah-olah keldai liar (tidak suka dan menjauh). [Lihat Silsilah al-Ahadis as-Sahihah – no: 31]

Bersalaman selepas solat adalah formula kita untuk menjaga persaudaraan kita, namun dilihat ianya tidak mencukupi. Allah dan Rasul-Nya telah pun mengajarkan kita formula untuk menjaga kesatuan yakni dengan didikan merapatkan saf ketika solat. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berpesan:


وصلُّوا كما رأيتموني أصلِّي

Solatlah kamu sekalian seperti kalian melihat aku solat. [Sahih al-Bukhari – no: 6819]

Sudahkah kita mengikut suruhan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam itu? Bukankah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengajar supaya dirapatkan saf. Ingatlah wahai saudara yang dikasihi. Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَلاَ تَوَلَّوْا عَنْهُ وَأَنتُمْ تَسْمَعُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (Al-Quran yang mewajibkan taatnya). [al-Anfal 8:20]



Edry Faizal bin Eddy Yusof
Timb. Amir Institusi Usrah Cyberjaya 06/07
Risalah Jumaat, jld. 13, Trimester 3, 16 Febuari 2007.

3 comments

fortune said... @ March 2, 2007 12:25 AM

sy selalu musafir. satu ptg tu sy berenti solat maghrib di satu surau, jd makmum masbuk. masuk2 dewan solat je rasa terkejut. jumlah jemaah ms tu tak ramai, adala dlm 10-15 org. yg jd terkejut tu bkn sbb apa, antara sorang jemaah dgn jemaah lain ada gap yg terlalu besar, kalau ukur lebih satu jengkal la. Ya Allah..camnepun cuba jgk solat dlm keadaan krg khusyuk sbb kepala terfikir2 camne sampai bleh jd camtu. kalau gap kecik takpela jgk, tp ni lbh sejengkal. nak kata masih tak tau, semua jemaah ramai yg 50 tahun ke atas..pk2 nak tegur lepas solat tp takut kene marah blk plak, yela kita musafir. tak pasal2 kene sergah blk, "hang ni sapa nak tegur kami (penduduk kat sini)?" terus matikan niat camtu je. bila teringat blk rasa terkilan plak tak tegur..

lemah btl kita sbg manusia..

sarakay said... @ March 9, 2007 5:39 PM

aku slaloo tgk kat tv bile time2 ada smayang jumaat, yang baris depan tu kan slaloo yg ketua2 kan, tak penah nye pun rapat. nmpk cam satu sejadah satu orang.

alFaisal said... @ March 9, 2007 6:48 PM

Fortune: huhuhu perkara macam tu memang kekadang buat kita serba salah. Nak telan mati ayah nak luah mati emak. Kita cuba je lah yang terbaik.

sarakay: Mungkin diorang tatau pentingnya rapatkan saf. kita harap ulama'2 disisi mereka dapat tanamkan la cinta pada sunnah Rasul dan para sahabat tu :)

Post a Comment