“Raya ni bukan mengenai makan je hehe,” saya menyapa seorang teman di Skype apabila terlihat kepada tajuk statusnya.
“Ala memangla…” balasnya kembali.
“Kalaulah boleh ditunda Hari Raya kan bagus, tapi itulah tinggal empat hari saja lagi,” luah saya.
“Eh kenapa pulak?”
“Rasanya macam tak cukup je sebulan Ramadhan,” saya meluahkan.
Perasaan saya agak bercampur baur tahun ini. Antara gembira, sedih dan bimbang apabila Aidilfitri menjelang tiba. Saya tidak menolak keperluan diri untuk gembira pada hari perayaan yang disyariatkan Tuhan. Kegembiraan spiritual tentu jauh lebik baik daripada bercucuran air mata menikmati lagu Raya yang bernada sedih. Cumanya terdapat sebuah lagi rasa yang mengiringi kegembiraan ini.
Bayangkan terdapat seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar. Namun sepanjang hari-harinya dihabiskan dengan menonton TV. Atau melepak dari terbit fajar hingga terbit fajar hari berikutnya. Jika ada masa ‘terluang’ akan dihabiskan dengan bergolek di atas tilam. Sebarang buku tidak disentuh, sebarang nota tidak diusik.
Maka peperiksaan pun berlalu, pihak sekolah pun mengadakan sebuah majlis untuk para calon peperiksaan. Bertujuan meraikan mereka kerana sudah bertungkus-lumus menggembleng tenaga mengulangkaji.
Pada hari tersebut pelajar yang terlebih santai tadi dilihat datang ke majlis dengan baju yang ditempah khas. Kasut baru yang mahal, tidak lupa gaya rambut yang baru didandan. Gembiranya dia di majlis tersebut melebihi gembira kawan-kawannya. Bagai teramat yakin, ‘usahanya’ sebelum ini pasti membuahkan hasil cemerlang.
Mungkin istilah yang bersesuaian untuk pelajar tersebut adalah ‘gedik’!
Namun ianya bukan kelihatan gedik buat pelajar malas tersebut sahaja.Pelajar yang rajin juga tidak kurang dilihat gedik jika berkelakuan sedemikian kerana kedua-duanya masih belum mengetahui keputusan peperiksaan mereka. Maka sepatutnya kegembiraan di majlis itu sekadarnya sahaja dan tidak melampau untuk mengelak dilihat gedik.
Itulah kerisauan saya, saya khuatir menjadi seorang yang gedik apabila tiba Aidilfitri.
Hari ini Aidilfitri sudah bagaikan sebuah medium perayaan untuk mengembalikan diri kita kepada diri yang ter’sekular’. Kecenderungan samada sedar atau tidak pada sekularisme yang hanya meyakini keadaan di sini dan kini (saeculum) dan menolak alam Sana (akhirat).
Ramadhan datang mengetuk pintu jiwa kita mengingatkan bahawa pusat tumpuan manusia bukanlah pada di sini dan kini, tetapi akhirat. Hingga menyebabkan ramai berusaha mengejar ganjaran ibadah yang nilainya tiada di sini dan kini tetapi di akhirat sana. Namun suasana sedemikian seakan berubah apabila menjelang atau tibanya Aidilfitri.
Semua seolah berebut kembali ke pra-Ramadhan dimana keduniaan menjadi tumpuan. Hingga Hari Raya sudah hilang wajah spiritualnya. Yang tinggal hanya perasaan gembira keduniaan, perayaan adat tanpa nilai agama dan kegilaan konsumerisme.
Bergembiralah kerana merdekanya kita daripada penjajahan nafsu. Raikanlah tumpasnya kezaliman pada diri sendiri dan makhluk lain. Namun bersama kita beringat-ingat. Moga kita semua dijauhkan daripada menjadi manusia gedik di Aidilfitri. Tetapi menjadi manusia yang dapat menikmati ruh sebenar perayaan ini.
"Buah delima dipetik makan
Kelapa hanyut isinya hampa
Hari Raya dihadiahkan Tuhan
Untuk disambut sebagai hamba"
alFaisal
19 September 2009 / 29 Ramadan 1430
2.30 pm
Batu Pahat
Teruskan Bacaan »













